Selasa, 21 Oktober 2014

Bandingkan ciri-ciri sistem feudal di England dan di Jepun



     
            Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan politik tempatan yang ditakbirkan oleh individu-individu tertentu dan bukan wakil oleh kerajaan pusat. Dalam sistem feudal, kedudukan seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis masyarakat hierarki. Feudalisme di Eropah terbentuk selepas kejatuhan empayar Charlemagne dan berlanjutan hingga abad ke-14 Masihi. Pemerintahan berasaskan feudalisme di England pada zaman kemuncaknya semasa Dinasti Tudor tahun 1485 hingga 1603. Feudalisme di jepun telah berakar umbi sejak  Zaman Kamakura.
          
  Di dalam sistem feudal di England dan Jepun terdapat beberapa ciri dan aspekl yang boleh dibandingkan. Kedua-dua negara ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri malah turut berkongsi beberapa persamaan. Persamaan konsep sistem feudal di Eropah dan Jepun menunjukkan bahawa sistem  feudal dilihat sebagai satu gabungan yang istemewa antara konsep pemusatan undang-undang diraja dan tradisi semula jadi sebuah organisasi dengan ikatan peribadi kesetiaan.
        
    Antara persamaan sistem feudal Eropah dengan Jepun yang pertama adalah dari segi pembinaan masyarakat. Pembinaan masyarakat kedua-dua negara ini adalah dibina atas dasar keturunan atau sistem kelas. Golongan bangsawan akan berada di atas, diikuti oleh tentera dan petani. Hel ini membawa kepada kurangnya perubahan status dalam masyarakat feudal atau kurangnya mobiliti sosial. Misalnya, jika dilahirkan seorang anak petani maka dibesarkan sebagai petani, sedangkan anak-anak bangsawan akan tetap menjadi golongan bangsawan.
           
 Seterusnya, zaman feudal di Eropah dan Jepun juga sering dilanda peperangan .  Keadaaan  ini menyebabkan golongan knight di Eropah dan samurai di Jepun mempunyai peranan yang amat penting sebagai hulubalang pada zaman feudal. Kedua-duanya berkhidmat dengan golongan bangsawan dan terikat dengan undang undang feudal. Knight terikat dengan konsep chivalry manakala samurai terikat dengan konsep bushido di Jepun.
         
   Persamaan juga dapat dilihat daripada segi peralatan peperangan yang digunakan oleh knight dan samurai. Kedua-duanya menggunakan kuda, pedang dan baju perisai. Baju perisai Eropah diperbuat daripada besi atau disadur dengan besi.  Baju perisai Jepun pula diperbuat daripada logam atau sutera atau saduran logam. Knight amat memerlukan bantuan untuk menaiki kuda kerana baju persai yang berat sedangkan samurai tidak memerlukan bantuan untuk menaiki kuda.
          
  Terdapat juga perbezaan di anta kedua-dua ciri sistem feudal di Erpah dan Jepun. Di Eropah, elemen ini datang dari empayar Rom dan berlatar belakangkan orang Jerman di Eropah Utara. Manakala,  di Jepun feudalisme telah berakar umbi sejak zaman Kamakura. Terdapat juga perbezaan dari segi pembinaan istana di Eropah dan Jepun. Bagi golongan bangsawan Eropah, pembinaan istana daripada batu mat penting untuk melindungi mereka dan vassal daripada serangan musuh. Golongan daimyo di Jepun juga membina istana tetapi istana daimyo diperbuat daripada kayu.
          
  Selain itu, evolusi yang berlaku dalam institusi feudal Jepun terlalu perlahan berbanding di Eropah. Sistem  Kamakura merupakan satu-satunya sistem feudal yang wujud akibat sistem pemerintahan kerajaan diraja yang telah uzur dan penerusan bentuk sitem tuan tanah persendirian yang diwarisi daripada  zaman terdahulu. Pada akhir abad ke16, jepun telah disatukan dan kemanan diwujudkan. Pada waktu yang sama, Eropah menghadapi zaman pengukuhan negara bangsa kerana kecekapan kuasa pusat dan kecekapan raja-raja Tudor di England. Namun, Jepun tidak ada raja melainkan jeneral tentera yang menjadi perancang kesatuan. Kemuncak feudalisme di Eropah dan Jepun tidak stabil tetapi secara asasnya, kerangka feudal di Jepun kekal sehingga pertengahan abad ke-19 selepas lama ketinggalan dalam persaingan masyarakat antarabangsa Eropah.
          
  Di samping itu, perbezaan lain ialah feudalisme Eropah berasal daripada konsep undang-undang Rom yang menekankan hak,undang-undang dan kewajipan iaitu hubungan antara mereka yang lahir bersama ikatan peribadi zaman feudal. Kebanyakkan idea undang-undang tersebut tidak ada dalam zaman feudal Jepun. Zaman feudal Jepun dibayangi oleh penekanan idea China yang melebihi undang-undang. Hal ini amat jelas menunjukkan kewajipan peribadi feudal di Jepun lebih menekankan aspek moral berbanding undang-undang . Ini bermakna kekuasaan dan kesetiaan menjadi sesuatu yang mutlak. Oleh yang demikian, tiada ruang untuk penyerapan konsep hak yang tidak dapat diubah, iaitu tidak berkongsi kekuasaan dengan badan perwakilan seperti di Eropah.
          
  Akhir sekali, perbezaan pemilikan tanah di antara sistem feudal di Eropah dan sistem feudal di Jepun. Golongan knight di eropah mendapat tanah sebagai bayaran memberi perkhidmatan ketenteraan. Knight juga mengawal golongan petani (serf) yang bekerja di tanah-tanah mereka. Manakala di Jepun, samurai tidak mempunyai tanah . Hal ini kerana daimyo mengenakan cukai ke atas petani untuk membayar gaji samurai dalam bentuk beras.
          
  Kesimpulannya, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan di antara sistem feudal Eropah dan Jepun dari pelbagai aspek.
           

Tiada ulasan: